Friday 18 November 2011

Poligami kerana Allah

Adalah sesuatu yang amat jarang berlaku di dalam masyarakat kita apabila seorang seorang lelaki ingin berpoligami kerana Allah. Lebih jarang lagi berlaku apabila dia ingin menikah lagi dengan seorang gadis yang belum ada rasa cinta padanya, sedangkan dia sudah punya seorang isteri yang sangat disayangi dan dicintainya. Kalau adapun suami yang berkata 'saya nak nikah lagi ni kerana Allah', tapi hakikatnya tidak. 
Begitu juga kisah si isteri yang menyarankan kepada suaminya agar berpoligami. Dan sesuatu yang jarang juga berlaku apabila seorang gadis menyediakan dirinya untuk bersedia berpoligami.
Alkisah si suami ingin berpoligami dan menyunting gadis lain bukan kerana isteri sedia ada mempunyai kekurangan diri, bukan kerana kasih sayang sudah hambar, tapi kerana Allah semata-mata.  Menjadikan poligami sebagai jalan menambah amal, meningkatkan ibadah dan menambah taqwa untuk menjadi insan yang bernilai di sisi Allah SWT.

Di pihak isteri pula, bagaimana dikatakan hidup bermadu ini sebagai suatu ibadah? Dengan mendidik hati dari sifat tercela yang memang menjadi fitrah manusia kerana kerja syaitan dan iblis, maka ini juga dikira ibadah. Pasti akan ada sifat cemburu, iri hati, hasad dengki, tamak, ingin menguasai dan sebagainya terjadi di dalam hubungan sesama manusia yang berpoligami.Maka jika segala sifat ini dapat dijaga, pintu-pintu untuk syaitan masuk ke dalam hati ini dipelihara, jadilah ia sebagai ibadah. Ibadah yang berkualiti , ibadah yang dilakukan semata-mata kerana Allah.

Keindahan itu akan kita rasa apabila hubungan kasih sayang  lebih intim, kehangatan dalam berasmara, kasih sayang yang utuh tanpa pernah ada curiga. Ia amat bahagia dan mengasyikkan didalam rumah tangga sedia ada. Curiga harus dielakkan kerana menimbulkan prasangka-prasangka buruk dan lebih malang lagi apabila prasangka-prasangka itu dibenarkan pula oleh hati si isteri lalu cuba disahkan dengan suami dengan cara yang akhirnya menyakiti hati suami. Jadi jangan ada curiga dalam hubungan poligami tidak terkecuali yang monogami.

Bagi yang sudah menjalani kehidupan berpoligami, isteri yang pertama perlu banyak-banyak bersabar, tekan nafsu kuat-kuat, belajar menangguhkan kemarahan dan cemburu dan carilah aktiviti-aktiviti lain yang boleh dilakukan ketika suami tiada di sisi. Layanilah suami sebaik-baiknya ketika dia bersama kita. 

Buat isteri kedua, belajar fahami suami kita. Perlu cepat belajar , jangan malas bertanya pada yang pertama. Pandai-pandailah bawa diri. Sabar dengan pandangan masyarakat. Ingatlah anda tidak pernah berbuat salah menikahi suami orang malah telah dipilih olehNya untuk melalui cabaran ini.

Wahai tuhan yang memiliki Arasy yang tinggi, Engkau teguhkan lah hati pasangan suami dan isteri-isteri ini berada dijalan yang benar,mantap dan tetap menuju kepada MU.


No comments:

Post a Comment